
Memiliki blog sendiri telah menjadi idaman saya sejak lama dulu. Tapi dengan batasan pengetahuan, masa, dan alatan menjadi penghalang ntuk mencapai hasrat tersebut. Alhamdulillah, dengan kesempatan yang Allah berikan, saya cuba menjadikan impian saya suatu kenyataan dengan membuka blog saya sendiri berbekalkan ilmu yang sedikit mengenainya.
Saya membinanya tanpa tunjuk ajar dari sesiapa melainkan mengikut kata hati dan sedap mata memandang sahaja. Kemudian sesekali belajar dari blog-blog lain yang menerangkan secara ringkas bagaimana menjadikan blog kita baik dan tersusun. Selebihnya hanya berdasarkan pemerhatian kepada blog-blog yang pernah saya layari sekian lama. Saya suka memerhati dan memilih juga memberikan komen secara tersembunyi paparan blog orang lain. Dari itu saya belajar bagaimana menyusun dan membaiki blog saya ini.
Ada juga beberapa perkara yang diajarkan oleh beberapa orang kawan yang juga sebagai blogger. Banyak yang saya dapat dan terus membaiki blog saya. Hampir setiap hari saya berfikir, bagaimana mahu menjadikan blog saya ini mempunyai paparan yang menarik dan berbeza dari blog orang lain?.
Saya ada kebolehan dalam merekabentuk secara grafik, jadi saya harus menggunakan kemahiran tersebut untuk blog ini. Mengapa tidak, saya telah menghasilkan banyak karya secara grafik seperti majalah, buletin, risalah, iklan-iklan, edit gambar, wallpaper, dan beberapa bentuk grafik lainnya, dari itu mampu menghasilkan sesuatu yang hebat pada paparan blog saya nanti.
Cuma yang menjadi kelemahan saya adalah dalam mencari idea untuk mengisi blog. saya sudah hilang kebolehan untuk menulis dengan baik. memang saya dulu berbakat dalam penulisan terutama waktu sekolah dulu. Saya menulis dairi, sajak, pantun, dan artikel. Tapi semuanya sudah menjadi harta karun dalam bilik saya. Walaubagaimana pun, saya cuba untuk mengasah semula kebolehan yang telah tumpul agar ianya tajam dan dapat menaghalusi bahasa dan ilmu serta diri ini.
Sebab itulah saya menamakan blog saya ini sebagai 'Merialisasi Fantasi' dengan harapan impian saya menjadi satu realiti yang membangkitkan semula ruh penulisan saya. InsyaAllah, saya akan isikan dengan beberapa kategori perbicaraan. Itu masih lagi di dalam proses penyusunan dan perangkaan. Semoga sahabat-sahabat dapat membantu saya dengan memberikan saya idea untuk menulis. Tak kira apa jua isunya, berikan dahulu dan saya akan fikirkan bagaimana...
Selamat maju jaya untuk saya dan selamat maju jaya juga untuk kita semua.
