Dari : humair-humair.blogspot.com
Di sini saya senaraikan beberapa orang ulama' dan tabiat membaca mereka yang mungkin agak sukar untuk ditiru namun tidak mustahil. Hanya perlukan azam dan kesungguhan.
Guru kami al-'Allamah al-Imam Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib al-Hasani (1909-1986) memiliki koleksi buku yang agak banyak. Disusun di rak-rak yang tinggi mencecah bumbung rumah beliau dan diletakkan juga di tempat-tempat yang senang untuk dicapai seperti di atas meja, di tepi tingkap dan di tepi katil (kerana rak-rak beliau telah penuh). Beliau telah membaca kesemua buku-buku tersebut serta mampu mengingat dengan baik apa yang telah dibaca. Bila beliau meminta salah seorang anaknya untuk mengambil kitab bagi tujuan rujukan, beliau akan sebutkan buku tersebut diletakkan di mana, jilid berapa, muka surat berapa dan perenggan keberapa! Sesetengah orang menggelarkan beliau sebagai 'ensiklopedia bergerak' kerana apabila ditanya tentang sesuatu masalah, beliau akan menjawabnya dan kemudian meminta kepada yang bertanya untuk merujuk kembali jawapan tersebut di dalam kitab yang beliau sebutkan namanya, jilid berapa, muka surat berapa, perenggan berapa dan cetakan mana. Apabila orang yang bertanya tadi merujuk kembali kitab yang disebutkan oleh beliau, ternyata jawapannya serupa dengan apa yang ditemui di dalam kitab!Syeikh Ahmad Timur Basya (sebutannya Pasha) memiliki 16 000 koleksi buku. Ada yang bercetak dan ada yang dalam bentuk manuskrip. Beliau telah membaca kesemuanya. Bukan secara mendatar atau sekali imbas, malah secara teliti. Satu kalimah demi satu kalimah!
Guru kami al-Muhaddith Sayyid Mahmud Sa'id Mamduh al-Husaini memiliki koleksi buku yang tidak kurang banyaknya sebagaimana yang saya lihat sendiri ketika menziarahi beliau di rumahnya. Ruang tamu dipenuhi dengan kitab. Tidak kira lagi kitab-kitab yang ada di bilik beliau dan ruang yang lain. Beliau telah membaca kesemuanya. Menariknya, beliau membaca kitab-kitab yang memiliki pelbagai latar belakang fahaman dan mazhab. Saya sendiri meneliti tajuk-tajuk koleksi beliau dan membacanya sedikit untuk mengambil maklumat kerana kitab-kitab tersebut saya tak pernah dengar. Beliau juga seorang penulis yang teliti. Meriwayatkan hadith kepada kami secara hafalan dengan menyebut sanad dan matannya sekali.
Sohibus Samahah Prof. Dr. Ali Jumu'ah Muhammad, Mufti Kerajaan Mesir memiliki koleksi 40 000 buah buku. Beliau telah membaca kesemuanya walaupun sibuk dengan tugas sebagai seorang mufti republik. Masih sempat memperuntukkan masa selama 8 jam untuk membaca dan menulis apatah lagi beliau adalah seorang penulis yang prolifik.Ini cuma sebahagian daripada para ulama' yang kita kenali berserta tabiat membaca mereka. Saya juga mengharapkan sekiranya sidang pembaca mempunyai maklumat tentang tabiat membaca para ulama' yang lain untuk berkongsi bersama saya. Bila kita melihat tabiat membaca mereka ini, kita perlu menilai diri kita kembali jika hendak dibandingkan dengan mereka. Ada sesetengah golongan yang dengan mudah menuduh ulama'-ulama' di atas juga ulama'-ulama' yang lain sebagai sesat dan pembuat bida'ah sedangkan golongan yang menuduh itu pun hanyalah bertaraf kanak-kanak jika hendak dibandingkan dengan para ulama' ini. Sepatutnya kita beradab dengan para ulama'. Walaupun tidak bersetuju dengan mereka dalam sesetengah perkara, ia hanya perlu dianalisis dengan baik dan beradab sebab boleh jadi mereka telah membaca apa yang kita tak baca. Saya teringat guru kami Sayyid Asyraf al-Husaini menceritakan tentang al-Hafiz al-'Iraqi yang telah berusaha mentakhrijkan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab Ihya' Ulumiddin karangan Hujjatul Islam al-Ghazali. Ada hadith-hadith dalam kitab tersebut yang tidak ditemui sumbernya oleh al-Hafiz al-'Iraqi menyebabkan beliau memberi komentar, "Semoga Allah merahmati Imam al-Ghazali. Sungguh saya telah berusaha mencari sumber hadith ini tetapi tidak bertemu dengannya." Guru kami menyatakan pula, "Sayyid Soleh al-Ja'afari memberi komentar terhadap ungkapan al-Hafiz al-'Iraqi ini dengan berkata: Boleh jadi Imam al-Ghazali telah membaca sumber yang tidak ditemui oleh al-Hafiz al-'Iraqi kerana al-Ghazali adalah seorang yang sangat luas pembacaannya." Inilah adab seorang ulama' dengan ulama' lain yang sepatutnya kita contohi! Wallahu a'lam.
p/s: Contohi akhlak para ulama' yang arif. Banyakkan membaca...
