
LOS ANGELES, 21 NOV 2008: Sebelum ini gosip pernah tersebar mengatakan superstar Michael Jackson sedang mendalami Islam malah sudah memeluk agama suci itu. Namun tiada kesahihan tentang khabar angin berkenaan.
Semalam, sebuah akhbar di Amerika Syarikat melaporkan penyanyi lagu Beat It akhirnya sudah memeluk Islam di kediaman seorang rakannya di Los Angeles, pada minggu ini.
Laporan itu berkata, upacara itu berlangsung di kediaman pemuzik album Thriller, Steve Porcaro dan disaksikan beberapa rakan seni lain termasuk pendakwah Yusof Islam atau Cat Stevens. Sebelum ini, Michael adalah bekas penganut mazhab Kristian Jehovah's Witness.
Difahamkan, Michael, 50, mengucapkan dua kalimah syahadah di depan seorang imam yang dijemput ke upacara bersejarah itu. Michael kemudian bersetuju menggunakan nama Mikaeel, iaitu salah nama malaikat dalam agama Islam.

Sebelum ini, abang Michael iaitu Jermaine Friday, terlebih dulu memeluk Islam pada 1989 dan sejak itu penyanyi lagu Heal The World itu mula menunjukkan minat terhadap ajaran Islam.
Satu ketika, selepas Jermaine pulang dari Tanah Suci Makkah, dia menghadiahkan Michael beberapa buku tentang ajaran Islam dan pada saat itu Jermaine semakin yakin bahawa satu hari kelak, pintu hati Michael akan benar-benar terbuka untuk menjadi seorang muslim.
Sementara itu, minggu depan, Michael dijadual memberikan keterangan di sebuah mahkamah di London berhubung tentang ganti rugi berjumlah US$7 juta kepada putera kedua Raja Bahrain, Sheikh Abdullah Hamad Al Khalifa.
Sheikh Abdullah mendakwa beliau memberikan sejumlah wang kepada Michael untuk menghasilkan sebuah album di bawah label syarikatnya selain sebuah kereta mewah Rolls-Royce berharga US$120,000.
Bca lagi..klik sini.
